Tuesday, May 31, 2011

Cuti Sekolah : Kenangan Terindah Bersama KTM

Pagi itu (30 Mei 2011), saya berancang untuk membawa adik-adik yang ada (Najihah,Ufairah & Iqbal) ke Cosmo World Times Square memandangkan ini sudah cuti sekolah. Abah terpaksa ke luar negara dengan urusan kerjanya, manakala ibu pula berkerja setiap hari seperti biasa. Lagipun sejak masuk JPA, saya ada mengajak mereka untuk ke sana pun. Kira belanja mereka lah kali ni. Perjalanan kami hanyalah menggunakan kenderaan awam, kerana tiada keyakinan membawa kenderaan di bandaraya dan tidak sukakan kesesakan di bandaraya.

10.30 pagi. Kami sudah sampai ke stesen KTM Bangi. Train pukul 10.32 pagi. Tiket Bangi-KL Sentral : RM 3.70 seorang. Hari ini kami akan ke Times Square ikut arahan Iqbal, sebab dia pernah pergi dengan abah dah sebelum ni. Saya dah pernah pergi sebelum ni, tapi ikut Bandar Tasik Selatan, naik RapidKL - Hang Tuah, naik monorail - Imbi. Akhirnya kami sempat naik train tanpa perlu menunggu lama. Sejak dah tahu jadual dia senang je la nak agak-agak masa dia. Rumah pun dekat je dengan stesen tu.

Sampai di KL Sentral, kami terpaksa berjalan dengan jauhnya untuk ke stesen monorail. Iqbal cakap dekat je, tapi jauhhhh. Dari monorail KL Sentral-Imbi : RM1.60 sekepala. Kalau turun kat BTS tak payah jalan jauh-jauh, tapi banyak transit pula. Alhamdulillah trafik tak sesak sangat pagi-pagi ni. Akhirnya sampai juga kami ke destinasi kami jam 11.50 pagi : Cosmo World.

Sebenarnya si adik-adik ni semua dah pernah pergi CW. Cuma saya yang belum pernah pergi dan teringin nak pergi selepas mendengar pengalaman mereka. Sekali masuk RM37 untuk dewasa dan RM27 untuk kanak-kanak. Perghh, cuti sekolah ni mahal pula dia jual tiket. Akhirnya kami bermain segala jenis permainan yang ada sampai mabuk.

Iqbal muka cuak lepas main pusing-pusing
Bagus ini anak masa tengah pusing masih menyebut "ya Allah x2" ^^

Selesai makan tengahari RM35, kami bergerak ke Plaza Sungei Wang kejap, singgah di Daiso, mencari barang best. Sekejap je, sebab nak kejar masa orang balik pejabat. Kang jammed tak lepas masuk KTM susah plak. Malam tu dah janji dengan ibu nak pergi Al-Amin Bangi dengar Izzatul Islam punya "Sembang Muzikal".

Lunch RM35 di sini

Kami bergerak pantas, sepantas mungkin. Namun segalanya telah ditakdirkan Allah. Kami sampai ke KTM KL Sentral jam 5. Jadual perjalanan ke Seremban- 5.27 petang. Nampak sangat dah terlepas train sebelum ni. Akhirnya kami menunggu di sekitar stesen sambil bergambar dan berborak.

"Train ke Seremban mengalami sedikit kelewatan. Train dijangka tiba jam 5.42 petang." Suara seorang wanita, merangkap orang yang bagi maklumat kepada penumpang-penumpang KTM.

Haih, lama plak menunggu eh. Orang ramai mula membanjiri stesen di platform ke Pelabuhan Klang, Rawang dan Seremban (actually dah tukar Sungai Gadong). Kerisauan mula memuncak dalam hatiku. Pengalaman naik KTM di waktu-waktu orang pejabat habis kerja masih tergiang-giang. Tidak mahu lagi mengalaminya. Tidak sanggup membiarkan adik-adikku juga merasainya.

Train sudah mula kelihatan dari jauh. Orang sudah mula bersesak ke tempat naik train. Kami berada di barisan belakang. Saya merasakan kami tidak akan sempat menaiki train itu. Train sampai. MasyaAllah. Ramai betul orang. Penuh. Penuh. Penuh. Itu saja mampu kukatakan. Orang ramai mula bertolak-tolakan untuk masuk ke dalam train. Kelihatan kegigihan terpancar di wajah mereka. Ini antara masuk dan tak masuk. Kalau dapat masuk, cepatlah sampai ke destinasi. Kalau tak sempat masuk tu, kena tunggu lagi 30 minit. Membazirkan masa oit.

Akhirnya train berlalu dengan manusia bertepek di tepi pintu. Padat sungguh. Kami gagal dalam pertempuran itu. Huh. Wajah kami jelas kepenatan dalam mood mabuk. Kena tunggu lagi 30 minit nampaknya. Tiba-tiba saya terlihat di jadual perjalanan, lagi 12 minit train seterusnya akan sampai. Kami terus menunggu di barisan hadapan. Akhirnya train yang dinanti telah tiba. Kosong dan banyak tempat kosong. Kami berjaya masuk walaupun tidak mendapat tempat duduk. Kelegaan jelas terpancar di wajah kami. Sempatlah nanti balik rumah sebelum ibu balik rumah. Hehe.

Iqbal tiba-tiba meragam di dalam train. Kepenatan kerana berdiri gamaknya. Ada seorang kakak yang baik hati tiba-tiba menawarkan Iqbal tempat duduk. Dia pun duduk. Tak lama selepas tu, dalam 13 minit perjalanan, tiba-tiba train berhenti lama di stesen Salak Selatan. Pintu tak tutup-tutup. Tiba-tiba..

Suara drebar KTM:

"Maaf diatas kelewatan, di hadapan ada train rosak. Diharap dapat bersabar."

Mak cik-mak cik mula mengeluh. Yela, orang baru balik kerja penat, siap ada yang dah tidur terlentok.
Seminit kemudian, drebar itu bersuara lagi:

"Para penumpang diminta keluar dari train ini segera, kerana ada train rosak di hadapan."

Semua orang mula tidak senang, dan jelas terpancar kepenatan mereka. Tiada senyuman langsung. Kasihan mereka. Kami yang mabuk ni hanya memerhati. Semua orang keluar. Kami yang dalam 100+ orang ni berkampunglah di stesen Salak Selatan tu dalam 30 minit juga. Menunggu train seterusnya datang. Kami masih bingung, apa yang berlaku? Penantian itu sungguh memenatkan. Sebuah train yang padat dengan penumpang baru melepasi kami tanpa berhenti. Sekali lagi kami mengeluh. Train kami tadi melakukan reverse dan melalui kami. Bila ia berhenti, semua orang mula berebut-rebut memasuki train itu. Kami sempat masuk.

Namun, sekali lagi kami disuruh keluar dari train. Orang ramai sudah mula berang. Lama menunggu ditambah dengan kepenatan. Train itu rupa-rupanya sedang membawa lari train yang rosak di hadapan. Suasana semakin tidak harmoni. Daripada berdiri di platform, orang ramai sudah mula duduk saja di atas lantai kerana sudah tidak larat menunggu.

Jam 7 petang. Train sampai. Tapi, ya ampun! Train itu penuh sarat dengan penumpang. Orang ramai yang terkandas bersama kami tadi sudah mula berang. Sudahlah kami disuruh keluar dari train yang tidak sesak. Kini train yang sampai pula penuh, tiada ruang langsung untuk kami mencelah. Mereka berebut-rebut nak masuk ke dalam koc. Orang yang ada di dalam dimarahi kerana tidak memadatkan ruang dalam koc. Sampai ada yang mencarut-carut memarahi penumpang yang ada di dalam, padahal orang di dalam tidak mengerti apa yang berlaku di luar. Sungguh dahsyat pemandangan itu. Kami tahu kami akan tewas kalau kami turut serta merempuh masuk KTM. Biarlah, kami mengalah.

Orang ramai kecewa tak dapat naik train

Lagi ramai yang kecewa. Kat belah kanan tula train yang rosak.
Ok, kami pergi solat dulu ya.

7.23 petang. Train lain datang lagi. Seperti biasa, train itu padat dengan penumpang dari stesen-stesen sebelumnya. Orang ramai mula merasa tertekan. Kami yang melihat juga merasa tertekan kerana (1) tunggu punya lama tapi train yang sampai penuh, (2) mabuk + lapar + ngantuk (3) orang terlalu ramai dan bersesak, (4) suasana semakin melemaskan bila ramai menjerit dan melepaskan kemarahan mereka di tempat itu. Akhirnya kami membuat keputusan untuk solat Maghrib dulu memandangkan sudah masuk waktu. Seperti tiada peluang lagi untuk kami naik train berikutnya kalau sudah begini keadaannya.

Suraunya kecil, bercampur lelaki perempuan. Kami terpaksa berwudhuk di tandas. Ya Allah, begitu berbaunya tandas di stesen itu. Kami hampir termuntah kerana bau itu. Alhamdulillah 20 minit kemudian, kami selesai solat.

Kami menuju je platform ke Seremban. Aik, sudah kosong platform itu. Daripada tadi ratusan orang kini sudah tinggal beberapa kerat manusia saja. Jadual perjalanan menunjukkan train bakal tiba jam 7.53 malam. Kami menunggu sambil bergambar di situ. Apa lagi yang mampu kami lakukan terperangkap di stesen itu dengan kepenatan, kehausan dan kepenatan.

Lihat saja perubahan jumlah orang sebelum dan selepas

Tiba-tiba jadual perjalanan berubah. Jam 8.08 malam baru train akan tiba. Hehe, sabar adik-adik. Sabar. Sabar itu separuh daripada iman. Kami meneruskan aktiviti bergambar kami.

Tiba-tiba lagi, jadual train berubah lagi! Jam 8.23 malam pula dia akan tiba. Cis, ini sudah melampau. Kami sudah letih menunggu. Iqbal pun sudah lembik, mengadu kehausan. Kami cuba menghiburkan hati dengan lebih banyak bergambar.

Akhirnya jam 8.23 malam train yang ditunggu tiba. Tapi penuh. Bila pintu terbuka, ramai yang turun ke stesen itu. Alhamdulillah, kami sempat juga akhirnya menaiki train. Alhamdulillah! Perjalanan sepanjang ke Bangi dari Salak Selatan itu kami terpaksa berdiri kerana kepadatan penumpang, yang akhirnya berkurangan di Kajang. Iqbal sudah pun tertidur sambil berdiri di sebelahku. Kasihan anak kecil itu.

Akhirnya kami sampai ke stesen Bangi dan terus kami pulang ke rumah dan tiba jam 9 malam. Kami terus bersiap dan berkejar ke Al-Amin Bangi nak jumpa Izzatul Islam. Sampai jam 10, sempat mendengar 3 buah lagu dan perbualan mereka. Akhirnya kami pulang ke rumah dengan kepenatan luar biasa.

Izzatul Islam : kumpulan nasyid dari Indonesia, mantan pelajar Universitas Indonesia.
Mereka menyanyikan lagu berunsur dakwah, bersemangat sekali.
*Cantik kemeja mereka.

Kenangan bersama KTM itu sungguh manis, dan mustahil untuk kami lupakan. Terima kasih KTM. Terima kasih daun keladi. Janganlah buat hal lagi lepas ni. Kasihanilah pengguna-pengguna kenderaan awam. 2 jam lebih kot kami terkandas.




Wednesday, May 25, 2011

Indahnya Ukhuwwah.


Mood: Rindu Group Usrah lama. ;(
(Gambar dengan t-shirt group)


Ukhti

Bismillahirrahmanirrahim.

Ukhti, saya sayang ukhti. Macam mana ya saya dapat buktikan betapa sayangnya saya pada ukhti? Bagaimana harus saya katakan lagi, saya kalau sudah rapat sama seseorang, saya akan sedaya upaya menyayanginya supaya dia dapat merasakan betapa sayangnya saya padanya.

Ukhti,
Indah sungguh perkenalan kita ini ya
Allah sungguh bijak mengaturkan segalanya
Kita, datang dari negeri yang lain-lain
Ada Terengganu, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Johor, KL
Tapi, atas dasar dan inisiatif kita untuk mendekatkan diri padaNya,
atas kesedaran akan tanggungjawab kepada agama
Akhirnya kita telah dipertemukan dalam pertemuan mingguan

Ukhti,
Awal-awal dulu kita semua agak canggung
Malu-malu sesama sendiri
Mungkin awal-awal tu kita hanya kenal nama, asal mana, kos apa, kolej apa
Namun, minggu-minggu terus berlalu
Kita sudah saling kenal sesama kita
Suka apa, makanan dan minuman kegemaran
Lama-kelamaan perasaan canggung itu sudah mula pudar
Saya yang paling muda pun sudah rasa serasi dengan ukhti-ukhti

Ukhti,
Kadang-kadang saya selalu lepak kat bilik mana-mana ukhti
Lagi-lagi bila saya rasa agak tertekan dengan suasana dalam bilik sendiri
Umpama melarikan diri
Tapi saya jarang ajak ukhti pergi bilik saya
Hee, saya segan sebab roomate saya ramai dan banyak tanya
Di bilik ukhti saya bebas melakukan apa-apa
Boleh guna apa-apa
Saya bisa makan dan minum apa yang ukhti ada dalam simpanan
Boleh tidur kat katil ukhti
Awal pagi ukhti kejut suruh bangun qiam
Kadang-kadang liat gak nak bangun
Terasa seperti seorang adik kepada ukhti
Suka sangat perasaan masa tu

Ukhti,
Tahun berganti tahun
Semester baru bermula
Saya dan ukhti masih bersua setiap minggu
Dan juga di program-program mingguan
Kita tak ubah seperti anak itik yang ikut ke mana saja mak pergi
Hee, tapi dari situ kita belajar sesuatu
Kita belajar tentang pentingnya hubungan ukhuwwah yang terjalin sejak awal dulu

Ukhti,
Lama-lama saya perasan ukhti mula sibuk
Sibuk dengan program lain
Hinggakan perjumpaan mingguan kita pun ukhti sudah mula jarang hadir
Saya seperti biasa fikir pasti akan ada lagi pertemuan kita minggu depan
Pasti ada! seperti biasa kalau siapa yang ponteng minngu ini akan datang minggu berikutnya
Saya tunggu kehadiran ukhti

Ukhti,
Lama
Lama
Ukhti dah tiada dalam perjumpaan
Saya rasa aneh sekali
Saya rindu nak jumpa ukhti
Tapi, akhirnya saya dapat tahu kebenarannya dari mulut ukhti yang lain
Kenapa saya tak tahu dan diberitahu?
Rupanya mesej berangkai terakhir yang saya hantar pada ukhti pada hari itu
Merupakan mesej terakhir untuk pertemuan mingguan kita bersama
Pertemuan terakhir itu melihatkan wajah ukhti tidak seceria dulu
Dah lama baru saya tahu apa sebabnya

Ukhti,
Walaupun kita sudah tidak bertemu secara berkala seperti dulu
Saya tetap memberanikan diri untuk mesej ukhti
Cuma mungkin mood nya sudah lain
Entah mengapa ia telah mengubah cara saya beromunikasi dengan ukhti
Bukan bermakna ukhti seorang yang asing
Bukan!
Tapi mungkin benar juga itu
Kita bertembung dalam kampus
Saya masih mahu tersenyum dan berborak dengan ukhti
Tapi mungkin sudah lain perasaannya

Maafkan saya ukhti. Betapa saya rindu pada ukhti yang comel. Petah berkata-kata. Aduh. Rindu itu masih berbara. Semoga ukhti kekal di jalan dakwah, semoga ketemu di sana. InsyaAllah.

:Persahabatan itu sungguh indah. Entah kenapa harus terpisah 2 orang sahabat itu hanya kerana sebuah keLAINan..:

Monday, May 23, 2011

Konvoi Pembebasan Palestin

Bismillahirrahmanirrahim.
Pada 21 Mei yang lalu, saya bersama keluarga telah menyertai konvoi anjuran Aqsa Syarif : Konvoi Pembebasan Palestin 2011. Konvoi ini bermula dari Masjid Wilayah dan berakhir di Masjid Negeri Shah Alam.

Konvoi ini sebenarnya lebih untuk memberi kesedaran tentang Hari Nakbah kepada masyarakat. Apa itu Hari Nakbah? Hari Nakbah sebenarnya berlaku pada 15 Mei, 63 tahun yang lalu. Di mana rakyat Palestin telah diusir dari tanah air mereka oleh pihak zionis. Banyak lagi info tentang Hari Nakbah (boleh google saja).

Konvoi kami (mengikut nombor pendaftaran:nombor ganjil) melalui route : Masjid Wilayah --> Taman Tasik Titiwangsa --> KLCC --> Masjid Bukit Indah (Ampang) --> Masjid Besi Putrajaya--> Masjid Putrajaya --> Masjid Negeri Shah Alam.

Di setiap perhentian, kami ditugaskan untuk mengedarkan risalah berkaitan Palestin dan juga Hari Nakbah. Suasana di KLCC agak padat sedikit memandangkan hari Sabtu.

Di sepanjang perjalanan kami juga, kami diiringi oleh encik-encik marshall yang bertindak untuk memudahkan perjalanan kami di celah kesibukan jalan raya di hari Sabtu.

Perjalanan yang bermula dari jam 9 pagi dan berakhir pada jam 7.15 petang itu sememangnya suatu pengalaman yang agak baru kerana sudah lama tidak terlibat dengan konvoi-konvoi sebegini. Alhamdulillah kerana ada risalah yang diberi ada yang memberikan respon yang mereka prihatin terhadap isu Palestin, walaupun tak kurang yang masih samar-samar tentang isu Palestin.

Ada kami bertemu dengan sepasang kanak-kanak bertanya: Apa? Pasal polisterin?. Ha. Adik, adik. Pasal Palestin. Mereka sekadar tersengih. Kami juga tak kurang terketawa sebentar melihat adegan itu.

InsyaAllah, semoga kita lebih prihatin dengan perkembangan isu-isu Palestin, isu saudara seislam kita juga.

Jangan lupa untuk LIKE "Aqsa Syarif" di Facebook untuk sebarang perkembangan dan aktiviti-aktiviti berkaitan Palestin. Nak menderma, buat bekalan pahala ke sana pun boleh, cari info di laman Aqsa Syarif ni ya. :)

*Jun & Ogos ini juga ada hari penting untuk Palestin juga. UPDATE!

Wassalam.

Thursday, May 19, 2011

Kenapa awak tinggalkan saya macam ni?

Assalamualaikum awak.

Apa khabar? Saya harap awak sihat-sihat saja. Mesti awak sedang bergembira di samping keluarga kan sekarang? Yela, awak selalu cakap kamu homesick je bila kita jumpa. Sekarang dah cuti panjang mesti awak dah takde dah rasa homesick tu.

Hmm, lamanya kita dah tak bermesej. Tak kisahlah berapa banyak pun mesej saya hantar kat awak, awak dah tak nak balas. Saya cuba call awak, tapi selalu ada suara perempuan lain (operator). Awak dah tukar nombor ke sekarang? Kenapa tak bagitahu saya? Kali terakhir saya mesej awak, saya cuba tanya awak, kenapa awak selalu mengelakkan diri dan cuba menjauhi. Awak hanya jawab, nanti ada masa yang sesuai awak akan bagitau saya. Acuh tak acuh je bunyinya. Emm...em..saya sedang menunggu la ni awak. Awak nak bagitau bila lagi awak? Saya masih mengharapkan jawapan awak. Jangan lupa plak!

Sejak awak "melesapkan diri", saya sangat risau. Sangat! Saya rindu untuk berborak dengan awak, rindu nak bergurau-senda dengan awak, rindu nak bincangkan hal-hal serius dengan awak. Saya dah banyak ceritakan masalah saya kat awak, tapi awak jarang-jarang cerita.

Ingat tak, masa kat stesen bas SS haritu. Saya tengah tunggu bas kolej saya. Tiba-tiba bas kolej awak berhenti depan saya. Dan saya nampak seseorang yang saya kenali, awak! dalam bas tu. Dan saya pergi dekat tepi tingkap bas tu senyum kat awak, lambai kat awak. Awak pun balas senyuman saya, kan?

Entah mengapa dan kenapa, sejak perjumpaan mingguan kita dah banyak kali tertangguh, awak terus saja lesap, hilang khabar, tak balas mesej-mesej saya. Saya pergi dekat profile FB awak pun awak dah blok saya tengok wall awak. Saya nak post apa-apa kat awak macam dulu pun dah tak boleh. Saya hantar PM. Tapi no reply. Hmm.. awak bencikan saya ke awak? Benarkah?

Mungkin bagi awak mudah je melarikan diri dari saya. Tapi pada saya, ia sangat memberi kesan pada saya. Bila melihat orang yang sama-sama bergerak, terus menghilangkan diri. Sahabat mana tak terasa kehilangan, bila sahabatnya melarikan diri darinya. Cuba di"contact" namun tak pernah dapat. Saya seperti hilang semangat, perjumpaan mingguan yang selalu saja tertangguh-tangguh. Hampir sebulan. Masing-masing ada dengan halnya masing-masing.

Seminggu, saya masih bertahan. Namun, minggu-minggu berikutnya, saya seperti sudah sudah tidak tahan. Saya perlukan jawapan itu! Awak biarkan saya sorang-sorang. Semangat saya seumpama sudah lari bersama awak. Saya tahu, bukan itu yang sepatutnya kulakukan. Cuma apa yang awak buat secara tak langsung telah memberi kesan kepada saya. Kan saya dah cakap, saya sangat suka bila awak ada bersama saya, sebab kita sebaya. Dah lama saya nantikan orang sebaya dengan saya masuk U memandangkan saya masuk U terlebih awal berbanding yang seumur denganku.

Akhir kalamku, andai awak membaca post ini, tolonglah contact saya balik. Saya rindu awak. Kalau tak pun, jangan lupa awak ada janji nak bagitau saya sesuatu. Saya tunggu...

*awak itu seorang gadis.

Wassalam.


Wednesday, May 11, 2011

Ahh, artis!!

Bismillahirrahmanirrahim.

Ini adalah kisah benar yang berlaku di Mydin Mall Kuala Terengganu sekitar 2007.

3 orang pelajar sekolah asrama; Salmah, Fatimah dan Habsah keluar outing mingguan seperti biasa di hujung minggu. Namun kali ini mood luar biasa buat Fatimah kerana inilah kali pertamanya dia menjejakkan kaki ke Mydin Mall yang baru saja siap itu. Kawan-kawannya di asrama tidak habis-habis menceritakan tentang betapa besar dan bestnya Mydin itu. Fatimah kelihatan begitu teruja.

Mereka masuk ke dalam Mydin yang sesak itu dengan wajah ceria walaupun berpakaian seragam asrama (normal lah budak asrama). Ramai orang hari itu, namun mereka tetap tidak sabar untuk membeli belah di bangunan baru itu.

Di dalam Mydin, bagi Fatimah sendiri, takdelah terlampau best. Namun, mungkin kerana harganya lebih murah berbanding harga barangan di pasaraya lain, itu sudah cukup memuaskan hati Fatimah.

Sedang Fatimah syok membelek-belek barangan murah, tiba-tiba Salmah separuh menjerit. "Artis x!! Artis x!!"

Huh, siapa pulak tu? Artis apakah? Fatimah terus mara ke tempat Salmah menjerit.

Salmah: "Timoh, Habsoh, tengok kat tepi kaunter tu, artis x weh!"

Fatimah: "Warghh, biar betul? Yang berlakon cite "xxxx" (tak ingat, tapi cerita sedang hangat di tayangan) tu ke?"

Salmah: "Ya!!!!" Dengan penuh semangat.

Habsah sekadar melihat kami dengan mata terkedip-kedip, namun tidak menunjukkan rasa minat kepada artis itu. Apalah korang ni..mungkin itulah yang dia bisikkan.

Salmah dan Fatimah tanpa membuang masa terus mengekori artis x yang pada ketika itu memakai topi sebagai pelindung daripada dikecam peminat. Bila artis x turun bawah, Salmah dan Fatimah turun ke bawah juga. Habsah sekadar berjalan malas mengikut 2 orang temannya yang sudah lagak persis "stalker" itu.

Sekadar itu saja, artis x terus hilang dari pandangan.

"Ahh! Terlepas! Ruginya kita Fatimah!" Getus Salmah.

"Tula, aku tak caye weh kita dapat jumpa artis x! Macam mimpi, dah la handsome. Perghh." Kata Fatimah.

Kelihatan wajah mereka berdua kecewa dengan kelesapan artis x dari pandangan mereka.

Tiba-tiba Habsah berbisik kepada Fatimah: "Timoh, kenapa korang gi kejar ikut artis tu tadi weh? Tak malu ke? Dahla pakai jilbab labuh, tapi gi kejar artis orang. Laki orang pulak tu. Malu ah. Artis tu bukannya bagi ceramah ke apa, tapi dia just berlakon, bukannya dia bagi ilmu kat kita pun. Lain lah kalau dia tu ulama' ke, ustaz ke nak kejar dapatkan ilmu takpe jugak. Ish. Orang macam tu ke mu nok jadikan idola hidupmu?"

Hmm, betul juga kan? Apa yang dia buat sampai aku nak kejar dia tadi? Gila ke apa? Astaghfirullah, taksubnya aku pada manusia yang hanya indah pada lakonannya. Ya Allah, aku tak sedar pun tadi. Aaaa... Malunya aku!

Tiada apa yang indah andai sekadar berjumpa dengan artis-artis,
Tiada gunanya terkejar-kejarkan mereka,
Kerna mereka hanya insan biasa,
Apakah mereka memberikan contoh yang terbaik untuk kita contohi dan menjadikannya qudwah hasanah?

Alangkah indahnya andai pertemuan dengan Allah itu yang kita kecapi,
Pertemuan dengan Rasulullah itu yang kita kejar-kejarkan, lumba-lumbakan.

-habsah2007

Moral: Kalau nampak artis di mana-mana, jangan kejar.

Wassalam.