Friday, December 31, 2010

Scootering on the Road.vroom vroom vroom

Assalamualaikum semua.

Dulu di blog lama saya, ada saya menceritakan tentang penyakit saya. Penyakit fobia dengan polis. Tapi atas beberapa sebab saya telah menggantikan blog yang dulu dengan yang sekarang.

Cuma sekadar sebuah cerita kenapa saya boleh mendapat penyakit ini.

Sekitar akhir tahun 2006. Pada waktu itu saya bersekolah berasrama di ibu negeri Terengganu. Berdekatan dengan rumahku, ada seorang teman bernama Hieda, merupakan teman sepermainanku sejak ku sekolah rendah lagi. Dia pula bersekolah berasrama di ibu negeri Johor. Jarang juga masa untuk kami bersua muka untuk bersama-sama meluangkan masa. Kebiasaannya, pada waktu petang saya dan Hieda akan merempit ke sekeliling kampung dengan skuter merah ibu Hieda. Kami masing-masing tidak mempunyai lesen motor, berani mengelilingi kawasan kampung di mukim Chukai itu. Hieda juga tidak lupa menurunkan ilmu menunggang skuter kepadaku hingga kini ku sudah bisa membawa skuter dengan yakin walaupun tidak ada lesen motor.

Al kisahnya begini. Di suatu petang yang ceria. Saya dan Hieda bertemu janji untuk keluar berjalan-jalan lagi petang itu. Seperti biasa dengan skuter merah itu. Semenjak ada skuter tu, jarang-jarang kami keluar dengan berbasikal. Kami biasanya akan melalui lorong yang sama. Pemandangan yang sama. Cuma makhluk yang berbeza sahaja setiap hari. Selesai 1 pusingan di jalan sama. Tiba-tiba Hieda memberi cadangan.
"Apa kata kita ikut jalan lain harini? Asyik ikut jalan sama je hari-hari."
Nak tukar angin pula si Hieda ni.

Saya menjawab, "Ok gak tu. Tapi kite tak tahu sangat jalan tu, awak tunjuk eh."
Saya pula mahu memandu skuter itu sendiri.

Kami pun bergerak ke "jalan baru" itu.

"Wah, seronoknya ikut jalan ni! Jalan lagi besar dari jalan kampung." Naluri seorang remaja, yang merasakan itu sebuah kebebasan dan keseronokan.

Setelah 2 minit perjalanan, tiba-tiba ku terlihat sesuatu yang dahsyat di hadapanku yang berjarak lebih 150 meter dari jarak skuter yang kupandu. Pak polis!! Ada sekatan polis di hadapan!!

"Hieda, polis kat depan tu! Ada polis! Polis!!!!!" Jantungku sudah begitu kencang beat nya. Saya kaget!

"Ape qah? Ape?" Ternyata daripada suaranya di belakang, kumenjangka dia juga berdebar-debar.

"Aaaa, matilah kite Hieda. Mati! Camne ni?" Saya sudah mula memperlahankan skuter.

Hieda seperti kelu berkata-kata. Saya sudah merasakan tanganku terketar-ketar untuk bertindak. Kulihat pak polis itu memerhatikan kami dari jauh. Dia di seberang jalan. Saya ternampak ada satu lorong ke rumah kampung di sebelah kiri. Lantas ku masuk ke lorong itu. Di situ pula kelihatannya beberapa orang kanak-kanak sedang riang bermain badminton dan bapak-bapak berborak-borak sesama mereka. Ya Allah, masa tu hanya Allah yang tahu betapa kami mati akal nak lari ke mana. Tula, takde lesen berani sangat naik atas jalan besar.

Ku lihat pak polis itu melintas jalan dan berlari ke arah kami. Dia seperti menyuruh kami berhenti. Tapi saya buat tidak tahu. Masih memerah otak mencari ruang untuk meloloskan diri. Seperti jalan mati di situ. Masa itulah wajah ummi dan abah terbayang di minda. Mengharapkan mereka ada di situ untuk menyelamatkanku pada ketika itu. Orang-orang kampung sudah mula menjerit ke arah kami dan mengarahkan kami berhenti.

"Berhenti!!Stop!!Berhenti!!Stop!!"

Tidak pak polis, kami tidak bisa berhenti! Skuter ini tidak mahu berhenti. Tiba-tiba dalam kekalutan itu kuterlihat satu lorong keluar ke jalan besar itu. Bukan jalan yang pak polis ada. Yes! Pantas kupecut ke arah itu dan kami terlepas! Alhamdulillah ya Allah. Saya teringat wajah pak polis itu seperti tidak puas hati kami terlepas. Tapi saya dan Hieda sememangnya rasa amat bersyukur, kami telah terselamat daripada ditangkap pak polis. Entah apa yang bakal berlaku kalau kami tidak dapat melepaskan diri tadi.

Sekarang, memori itu benar-benar membuatkanku terketawa sendirian. Yalah, tak sangka nakal juga dulu-dulu. Macam-macam kami dah buat, pastinya itu memori yang tak mudah dilupakan. Pasal pak polis, sampai sekarang saya merasakan pak polis seperti mengejar dan mahu menangkap saya. Pak polis itu berbaju seragam polis. Sejak itu juga setiap kali ku terlihat mana-mana polis, ku jadi kaget. Walaupun ketika itu, ku tidak melakukan walau satu kesalahan. Lesen semuanya cukup. Roadtax ok lagi.
,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,

Buat Hieda, kita takkan lupa kenangan tu. Agak masin ditelan, apatah lagi untuk diingati. Walaupun kita sudah berjauhan, ingatlah, kita masih berbumbungkan langit yang sama, dan berkiblatkan arah yang sama. InsyaAllah, kita jumpa lagi suatu masa nanti.

Sekian,wassalam.



Perkahwinan dalam Keluargaku.

Tahun 2010. Tahun yang agak meriah bagi keluargaku. 3 orang ahli keluargaku mendirikan rumah tangga; Abah, Along dan Angah. Saya tumpang gembira dengan semua ini walaupun ada yang merupakan kejutan buatku sendiri kerana ku tidak sangka akan berjadinya begini. Inilah qada' dan qadar ALLAH. Apapun, kuterima kehadiran mereka dengan hati yang agak terbuka. Bukan saya tidak suka, SUKA! cuma mungkin mengambil masa untuk melalui perubahan-perubahan yang bagiku agak mendadak dalam keluargaku. Sesungguhnya daku bersyukur [ALHAMDULILLAH] dengan anugerah-anugerah ini walaupun bukan diriku yang ber******. hehe

Lihatlah mereka, wajah berseri-seri! Seri pengantin katakan.

Abah + Azizah (Ibu)

[ada juga kami adik beradik terselit]


Along + Raihanah (Kak Long)



Angah + Taufik (Bangah)

[Lihat kereta di belakang itu, akhirnya ia menjadi milik mereka.]


Dan dengan itu jugalah, kampung saya bertambah. Daripada sebelum ini tiada kaitan apa-apa dengan Johor dah ada apa-apa. Dalam tak sedar, saya juga telah bertambah atuk, nenek, makcik, pakcik, sepupu, kakak, abang, dan saudara mara. Makin luas liputan kawasan yang dikunjungi. Duit raya pun ada sedikit pertambahan.

.................................................................................................................................

Semoga kalian berbahagia hingga ke akhir hayat.
Abah,
jangan lupakan kami adik beradik. Kami amanah Allah untuk abah. Jangan kurangkan kasih sayangmu pada kami sepertimana yang abah janjikan sebelum berkahwin. Wang saku haruslah diteruskan pengagihannya.
Along,
jangan lupakanku walaupun kita sudah berjauhan. Jaga isterimu, sayangi dia dan hiburkanlah hatinya dengan lawak-lawak yang biasa kau hiburkan kami juga.
Angah
(mu hok paling ku terkejut!),
jangan lupakan adik-adikmu. Kami masih butuhkan perhatian kakak walaupun kami dah dapat kakak baru tu. Biarlah berjauhan dengan suami tu, biasalah tu. Macam tak biasa berjauhan dengan Iqah je. Kami akan cuba berbaik-baik dengan abang baru kami. Langkah pertama; add as friend dalam FB dah selesai.^^

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Buat semua yang telah berkahwin, kami yang belum berkahwin (Atiqah,Najihah,Ufairah & Iqbal) harap dengan perkahwinan ini, akan terbentuknya keluarga yang sakinah dan mawaddah. Hubungan kita tetap mantap ok? Jangan lupa tanya khabar kami selalu. Nanti kami tanya balik khabar anda.

Sekian,wassalam.

Wednesday, December 29, 2010

Novelis

Bismillahirrahmanirrahim.

Post kali ini saya sekadar mahu berkongsi tentang novelis-novelis serta karya-karya mereka yang saya gemari. Saya sukakan penulisan yang sempoi dan plot penceritaan yang pelbagai; suspen, happening, islamik, dan sebagainya. Tak pandai nak kupas teknik-teknik ni. Yang penting inti novel tu tak melalok, adegan yang pelik-pelik dengan penggunaan bahasa yang tidak disenangi.

Novelis yang saya minati :

1 Ramlee Awang Murshid
  • Semua buku

2Hlovate
  • Semua buku

3Habiburrahman El-Shirazy
  • Semua buku

4 Noor Suraya
  • Jaja & Din [ Novel yang agak bengong-bengong. Menceritakan Jaja seorang yang free hair, tidak mahu jatuh cinta akhirnya terjatuh hati pada seorang ustaz. Proses mengejar ustaz Din oleh Jaja untuk dijadikan teman hidupnya, merupakan episod-episod yang lawak. Novel ini masih berpaksikan syariat, tak meleret-leret. Best!]
Tak bayak pun. Masih dalam usaha membaca buku-buku dengan banyak. Jom, kita membaca!

Sekian, wassalam.

Tuesday, December 28, 2010

Kepala Ikan



Suatu ketika dulu. Dalam sebuah keluarga yang bahagia hendaknya. Si ibu memasakkan kari kepala ikan tenggiri yang lazat.Mmmm. Jarang sekali dapat membeli ikan yang sudah dikira agak mahal ketika itu. Berlakulah pertengkaran antara si anak Comel dan ayahnya. Masing-masing bernafsu berkehendakkan kepala ikan yang sememangnya hanya dimakan oleh mereka berdua.

Anak comel : Arghh. Comel nak dulu! Comel nak dulu kepala tu!
Ayah : Mana boleh. Ayah nak dulu, ayah beli guna duit ayah kot ikan ni.
Anak comel : Aaa. Mana aci camtu. Kalau camtu memang semua ayah yang beli kot!
Ayah : Lalalala~
Anak comel : Cis, Comel nak mata ngan pipi ikan kalau camtu!

(*Jangan tiru adegan Comel. Tidak beradab di hadapan ayahnya.)

Akhirnya si ayah memberikan sedikit isi-isi di celah kepala ikan kepada anaknya yang comel itu. Memanglah ayah itu suka menyakat anaknya.

Masa terus berlalu. Si anak Comel semakin membesar dengan pesat. Akhirnya dia menyambung pengajiannya ke sebuah institusi pengajian tinggi awam di Selangor. Lebih spesifik di Serdang. Jarangkali si Comel itu dapat pulang untuk bersama-sama dengan keluarga. Tidak sekerap dahulu. Suatu hari, akhirnya si anak pulang kerana cuti semester. Ibunya yang penyayang dan penyabar itu memasakkan makanan kesukaan anaknya itu lagi; Kari kepala ikan. Ternyata anaknya sangat merindui air tangan ibunya itu. Sudah terkecur air liur melihat kepala ikan berenang-renang di dalam mangkuk hidang. Bersedia untuk makan! Tiba-tiba si ayah ternyata lebih pantas mengambil dulu kepala itu. Si anak Comel masih lagi cuba menuntut haknya di situ. Seperti biasa, seperti dulu. Adik si anak Comel tiba-tiba menyampuk.

Adik Comel : "Alah ayah tu. Masa Kak Com balik je dia nak main rebut-rebut kepala ikan tu. Kalau tak, takdenye main gaduh-gaduh bising-bising kat meja makan nak rebutkan kepala ikan tu."

Comel tersenyum. Hehe. Ayah rindu nak main rebut-rebut kepala ikan ngan orang ye. Takpe, lepas ni ada kepala ikan kita compete siapa dapat dulu. Si ibu tersenyum penuh makna. Mungkin terhibur dengan gelagat suaminya menyakat si anak. Atau mungkin tersentuh melihat 2 manusia di hadapannya begitu lahap makan masakannya. Tidak diketahui dengan mendalam maksud senyuman itu.

Selepas itu. Selepas itu, asalkan ada kepala ikan, ada ayah dan si anak Comel, pasti akan gawat jadinya suasana di meja makan. Meriah. Bising. Bahagia? InsyaAllah.

Kini, si ibu yang selalu memasak kari kepala ikan yang lazat itu sudah pergi menghadap Ilahi. Sejak itu jugalah, si anak Comel sangat merindui masakan ibunya. Tiada siapa dapat menandinginya. Ayahnya kini sudah berkahwin lagi.

Baru-baru itu juga, ada lauk kepala ikan terhidang di atas meja. Si anak Comel sememangnya lebih tergoda dengan kepala ikan mahu menangkap kepala ikan itu. Namun terlebih dahulu kepala itu terbang ke pinggan ibu barunya. Ayahnya memberikan kepala itu kepada ibunya. Si anak comel terus makan nasi dan lauk lain dengan perasaan yang agak hampa. Tiba-tiba rasa rindu akan kenangan dulu. Kini, si anak sudah tidak merasakan dia perlu berebut kepala ikan dengan sesiapa lagi. Kerana si ayah lebih mahu berebut kepala ikan dengan ibunya. Kepala ikan..Kepala ikan..

There are some points I wanna share here:

1) Hargailah masakan ibubapa anda. Kerana dari air tangan itulah mengalirnya kasih sayang, yang tak dapat diperolehi daripada orang lain.
2) Ada satu maklumat yang saya dapati : kalau kita nak makan, pastikan orang yang memasakkan makanan itu solat. Mahukah kita air tangan orang yang tidak solat, tidak beriman masuk ke dalam perut dan menjadi darah daging kita. Ada yang mengatakan itu boleh menggelapkan hati kita. Tidak pasti tentang kesahihannya, tapi boleh jadi betul juga. Lain kali kena berhati-hatilah dalam memilih tempat makan. Yang paling baik adalah masak sendiri makanan yang kita makan.
3) Berebut-rebut itu tidak elok. Adalah baiknya beralah saja. Mungkin bukan rezeki kita. Mungkin suatu hari nanti Allah nak hadiahkan kepala ikan yang sangat besar dengan mata yang besar. Wah.
4) Makan kepala ikan kurang elok ya? Orang-orang tua kata boleh jadi bodoh jika makan kepala ikan. Makan sekali sekala bolehla.
5) Sebelum makan jangan lupa baca doa. Jangan bazirkan makanan yang tidak habis. Sedekahkan pada ayam-ayam belakang rumah atau kucing-kucing yang kelaparan.

Sekian,wassalam.

Wednesday, December 15, 2010

Vet To Be?

Assalamualaikum.
Perkongsian pada hari ini. Saya mahu menceritakan pengalaman-pengalaman yang telah saya lalui sepanjang saya belajar kos perubatan veterinar ini. Bagi saya, kos ini sangat menarik, dan mencabar serta banyak menguji kesabaran. First year saja sudah ada 3 praktikal! Setiap praktikal pula seminggu tempohnya. Dan setiap segalanya memang ada ujian dan mehnahnya sendiri.

First practical ~ S++A Ipoh [Pusat Perlindungan Haiwan]

Baru je tahu ada wujudnya tempat sebegini. Biasanya haiwan-haiwan terbiar akan dihantar dan dijaga di sini oleh pekerja-pekerja di sini. Anjing dan kucinglah penghuni-penghuninya. Pertama kali saya datang ke tempat ini, baunya.... Hanya tuhan yang tahu betapa hidung ini tidak dapat meghidu telan bau itu. Sungguh memualkan bau anjing-anjing itu. Saya hampir-hampir termuntah pada kali pertama berjalan-jalan keliling kandang-kandang anjing itu. Sungguh, seperti mahu melarikan diri dari kenyataan itu. Melihatkan kawan-kawan praktikalku releks je, saya cuba berlagak cool. Lagi-lagi bila perut penuh, rasa seperti segala isi perut berkocak-kocak. Mahu keluar. Mahu keluar. Tapi tertahan. Madam yang menyelia kami juga sangat baik. Dia seperti memahamiku yang tidak sukakan bau anjing. Kami ditugaskan untuk membersihkan kandang kucing dan memberikan mereka makan. Kemudian membelai-belai dan memanjakan mereka. Kucuba untuk tidak memegang anjing kerana malas mahu menyamak bila dijilat mereka. Sungguh, pengalaman itu membuatkanku berfikir dengan lebih gigih, apakah benar kumahu ke bahagian small animals?

Second practical ~ Zoo Melaka

First time praktikal di zoo. Baru sedar tentang kewujudan unit-unit khas di belakang tabir sesebuah zoo. Tidak mudah rupanya untuk membina dan mengusahakan sebuah zoo; tempat pemuliharaan haiwan liar. Ramai orang di sebalik tabir yang terlibat dalam menguruskan tempat tinggal haiwan; tempat bersih dan selesa lagi-lagi bagi haiwan import, makanan yang sesuai dengan cara pemakanan haiwan, dll. Pengalaman yang agak menyeronokkan dan juga memenatkan. Rutin pagi 8-10 am, kami dibahagikan kepada beberapa unit. Ada unit bersihkan kandang-kandang, bagi makan dan haiwan kecil minum susu, ada kat dapur memotong keledek dan kupas telur. Penat! Kemudian rehat. Kemudian kami akan mengikut doktor vet ke sekitar zoo untuk rawatan haiwan. Ada haiwan sakit, mati. Best! Dapat naik pick up truck sekitar zoo. Jadi perhatian pun ada sebab pakai baju pelik ngan boots. Petangnya kami beramai-ramai bergotong royong bersihkan kawasan dapur dan melapah daging-daging lembu untuk dilahap sang singa, harimau. Bab ni loya sikit, sebab daging dia tak fresh dan berlalat dan busuk. Oh. Ada sekali tu saya bersihkan kandang singa dan harimau. Ya ampun, baunya sangat hancing dan busuk! Lebih teruk dari bau anjing. Tahan nafas je membersihkan tempat tu. Dengan singa "Hasan" dan harimau cam nak serang kiri kanan. =.=". Dahsyat kan pengalaman saya? Tula, saya mula berfikir dengan lebih gigih. Mencabarnya kalau ambil bahagian haiwan liar.


Pengalaman pertama masuk kandang zirafah dan pegang anak zirafah.
Kasar jugalah bulu dia ni.


Untuk menjadi vet:

1. Kena kuat minda dan fizikal. Tak mudah nak hadapi dan tawani haiwan-haiwan yang mahu dirawat. Mencabar. Memang kena gagah, tak boleh lemah-lemah! Allah pun suka hambaNya yang kuat bukan?
2. Kena tahan bau! Apa jua bau yang ada, kena tahan dan alert! Sebab berdasarkan bau jugalah seseekor spesis haiwan dapat dikenalpasti.
3. Kena tahan dengan karenah haiwan. Ada yang garang sangat, ada yang manja sangat, ada yang mahu dibelai saja, mahu digaru-garu, mahu diberi perhatian selalu. Lawak juga la melayannya.
4. Kena pandai handle haiwan-haiwan yang dikelaskan sebagai najis mughollazoh. Ngak boleh diambil mudah dong.
5. Pandai kawal emosi setelah tension melayan haiwan. haha. part ini lawak. maaf.
6. Kena pandai juga berkomunikasi dengan manusia selepas berjaya menguasai cara berkomunikasi dengan haiwan.
7. Rela korbankan pakaian-pakaian kesayangan untuk dikotorkan. Lagipun ianya takkan kekal lama.
8. Kena hadapi perasaan bila mahu makan terkenangkan haiwan-haiwan yang pernah ada kisah silam bersamanya. Saya pernah makan paru-paru lembu, tiba-tiba rasa macam anjing punya bau. Ya Allah, nak menangis. Tapi sebab makan depan bos yang belanja, tahan sajalah.
9. Tahan emosi bila haiwan yang disayangi mati. T_T


OK, itu saja perkongsian kali ini. Saya penat berpraktikal lagi ni.

Sunday, November 21, 2010

Mari melihat ciptaan Allah!


Mari kawan-kawan kita melihat ciptaan Allah ini
Comel
Aktif
Ligat
Liat..err..
Saya sungguh rindukan mereka
Kenapa saya suka kucing?
Sebab kucing senang nak dijaga
Senang nak faham dan baca fikiran dia
Anjing lagi senang, tapi..
Ngak bisa dibela dong melainkan beberapa asbab
Saya juga suka peluk dan cium kucing
Kalau sudah lama tidak ketemu
Rasa nak jumpa sangat
Sudah seperti menjadi ahli keluargaku saja
InsyaAllah..
Haiwan-haiwan bukankah kerja mereka berzikir kepada Allah?
Semoga dengan kehadiran mereka dapat menghidupkan lagi suasana di rumah

Ini anak-anak kucing yang telah dilahirkan pada 15 Oktober lepas.
Baru belajar meloncat-loncat.
Sudah pandai membuang air di "litter box"
Sudah bisa makan makanan kucing
Ya, di sini saya mahu syorkan kepada empunya-empunya kucing
Brand makanan Friskies dan Smart Heart tidak elok diberikan kepada kucing
Kerana boleh mengakibatkan kompilasi buah pinggang pada kucing
Jenama yang disyorkan ialah Whiskas
Pastikan kucing anda diberikan makanan yang diyakini selamat dan berkhasiat
Mereka juga hidupan
Mampu jatuh sakit sepertimana jua manusia

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Mereka suka berkumpul macam ni

Dah pandai posing.

Ni sudah pandai lepak atas makanan mak dia.

^^

Sungguh comel! Ini "Nyet".

^^.Comel korang posing.

Tak gaduh tak sah mereka ni.


Credit to Jiji@NNK for the photos.

Rumah ku. Syurga ku.



Aku telah dikejutkan dengan satu berita
Keluargaku akan berpindah ke Bangi 1 Januari depan
Ya, berpindah dari Kemaman ke Bangi
Kerana abahku akan bertukar kerja ke Kuala Lumpur
Ohh..
Seperti mahu saja ku membantah
Betapa banyaknya kenanganku bersama ummi di rumah itu
Sudah hampir 7 tahun kami tinggal di situ
Rumah yang memberikan pelbagai ragam
Dan juga penghuninya yang pelbagai ragamnya
Pokok-pokok disekitarnya yang sangat dijaga rapi dan disayangi ummiku
Kini hanya hidup bertangkai walaupun daun sudah banyak gugur
Itu semua menjadi kegemaranku untuk melihatnya
Melihatkan pada pokok-pokok itu
Teringat aku
Kehijauan pokok di sekitar rumahku hasil titik peluh ummi dan bibik
Sentiasa dibaja dan dibelai
Apabila ada yang mati, pasti saja ummiku sedih dan membeli yang baru
Begitulah rutinnya
Betapa ditumpahkan kasih sayang pada pokok-pokok itu pada waktu lapangnya
Namun kini pokok-pokok itu tidak semekar dahulu
Seperti kurang zat dan kasih sayang
Aku tidak reti menjaga mereka
Aku tidak tahu baja apa patut kubeli dan suapkan pada mereka
Oh, maafkan daku pokok
Semoga baja semulajadi yang ayam-ayam suapkan padamu serta titisan hujan dan sinaran sang mentari boleh menjadi penyuntik semangat untukmu untuk terus hidup
Sungguh,banyak kenangan di situ
Tak terkira
Betapa ku membesar dan merasakan nikmat memiliki sebuah keluarga di rumah itu
Ruang tamu, ruang dapur, ruang bilik tidur, halaman rumah
Aku pasti kalau anda menjadi diriku anda pasti sayang untuk meninggalkan rumah ini
Apatah lagi jika rumah ini jugalah menjadi tempat mandi mayat ibumu
Menjadi tempat dikafankan
Menjadi tempat disembahyang mayatkan
...
Sungguh,hati kecil ini begitu sayangkan rumah ini
Walaupun diri ini selalu juga melukan rumah ini, namun ku tetap sayangkan rumah ini
Dalam kiraan 1 bulan lebih aku akan meninggalkan rumah ini
Dalam kiraan 1 bulan lagi inilah aku akan meninggalkan Terengganu
Aku akan meninggalkan Kemaman yang kusayangi
Sudah 15 tahun jasadku berada di sana
Mana mungkin aku dapat melupakanmu
Oh,,
Hati ini juga sayu terpaksa berjauhan dari kubur ummi
Yang aku akan ziarahi di setiap cuti sem ku
Gi mana mahu melawat kuburnya jika berada di Selangor?
Saya pulang ke rumah nanti saya berjanji akan menjaga hatinya sebaik mungkin
Mungkin inilah kali terakhir untukku berada di dalamnya
Oh rumah
Rumah
Rumah...
Rumah.....
Rumahku syurgaku..



Friday, November 19, 2010

MY PRECIOUS,MY BELOVED


Suddenly, I missed her.
I just can't take my mind from her.
I always try to push my memory about anything she said,advised me in the past.
She is a very precious person in my life.
May Allah bless you always,okaa-san!
Semoga ummi bahagia di sana!

Bye Bye Bye Bye


I have to say this to my past.
I wanna be a new me.
I wanna be a better person.
Let the past vanish.
No more for them.
Be serious.
Aim for next year.
I will change, with Allah's will.

Aku Sayang Kau!


Mengimbau kembali zaman kita dulu-dulu.
Masa kita masih kanak-kanak.
Masih suci,hanya memikirkan saat-saat untuk bermain.
Walaupun kita sentiasa berjauhan, aku tetap mengingatimu.
Aku akan sentiasa berasa gembira jika aku akan pulang ke kampung kerana aku akan bertemu denganmu!Bermain denganmu!Berjalan-jalan ke sana kemari denganmu!
Aku masih ingat kita pasti akan melepak di sungai besar belakang kampung.
Kita akan berjalan-jalan menerokai halaman kampung,kau yang menunjukkanku arah.
Kita selalu pergi ke 7Eleven pada hari raya pertama untuk membeli SLURPEE.
Aku masih ingat itu,kau ingatkah lagi?
Kau selalu dimarahi ummi kau,aku cuba membantu kau.
Kita selalu bercerita sampai lewat malam
Selalu mandi bersama-sama
Selalu berkongsi membaca komik
Ada minat yang sama
Ya,aku masih dapat merasakan kenangan itu tergiang-giang di mindaku.
Aku sangat merindukan saat itu!
Rindu!
Rindu!
Bagiku kaulah satu-satunya temanku di kampung.
Sebab kita sebaya.
Sebab ibu kita adik beradik yang rapat.
Sebab kita adalah saudara.
Ibu kita tidak mahu ada jurang antara kita.
Aku tertanya-tanya sama ada kau juga merasakan apa yang aku rasa
Perasaan rindu
Perasaan itulah yang bagiku mengikat hubungan kita


TAPI..

Semakin kita dewasa
Aku dapat merasakan jurang antara kita
Aku tidak tahu mengapa
Kau yang kurapat bertudung tidak jarang dan sederhana besar
Kini sudah bertudung jarang dan kecil
Ummi kau mengadu kepada ummiku yang kau membelinya senyap-senyap
Dan sekarang aku dapat melihat perubahan pada pakaian kau
Tahukah kau, wanita itu seluruh anggotanya aurat?
Kecuali muka dan tapak tangan
Bukanlah mahu kau bertudung labuh ke punggung, walaupun itu yang dituntut Islam
Paling kurang pun kau tutuplah apa yang terzahir
Semoga dengan itu dirimu sebagai seorang wanita akan terjaga
Tidak sewenang-wenangnya diperlihatkan kepada lelaki ajnabi
Aku terkedu mendengar perbualan kau dan seorang saudara kita
Korang melihat gambar zaman kanak-kanak
Bertudung bulat menutup aurat
Kau kata: Selebet ah ummi aku pakaikan tudung aku
Aku betul-betul terkedu
Apakah kau tahu
Kalau bukan kerana ummi kau
Ummi aku dan aku mungkin tidak akan bertudung
Hidup tanpa menutup aurat
Di mana berkatnya
Aku masih ingat arwah ummiku menceritakan tentang ummi kau yang sebenarnya memberikan inspirasi kepada dia untuk bertudung
Terpaksa bergaduh kecil dengan wan semata-mata mahu memakai sehelai tudung
Betapa sukarnya saat itu untuk seorang wanita bergelar muslimah untuk menutup auratnya
Tidak mudah!
Itu yang aku kesali sekarang
Aku juga pernah terniat untuk bertudung kecil selepas aku melihat kau dan saudara yang lain berubah
Ummiku perasan akan itu
Beliau terus menasihatiku walaupun dalam hatiku memberontak
Aku rasa malu bertudung labuh dengan korang
Tapi,lama kelamaan aku dapat merasai betapa seronok dan selamatnya bertudung labuh
Dan yang paling penting, aku rasa selamat daripada mendapat dosa tidak menjaga aurat
Sekurang-kurangnya aku cuba menutup seluruhnya sebagaimana yang telah Allah perintahkan
Bukan,bukan maksudku untuk berbangga diri
Aku cuma mahu kau berfikir
Aku seringkali mendengar luahan hati ummi kau
Menyuruh kau bertudung labuh
Berbaju longgar dan labuh
Tapi kau seperti membiarkan kata-kata itu seperti air mencurah ke daun keladi
Mungkin, hati kau masih belum terbuka
Mungkin, kau masih tidak bersedia untuk berubah kearah itu
Mungkin, kau rasa malu
Aku seperti mahu menangis di situ juga
Kau
Selagi ummimu masih bernyawa
Apakah salahnya kau menuruti kata-katanya
Kau ikut segala perintahnya
Paling kurang pun kau tak turuti perintah Allah, kau turutilah perintah ummimu
Walaupun kau tahu siapa yang perlu kau turuti lebih lagi
Kau
Aku sudah mula rasa hubungan kita renggang
Selepas kau ber”couple”
Aku tahu aku tidak berhak mencampuri urusan peribadimu
Dan kau juga tidak mahu aku tahu
Tapi aku ingin memberitahumu
Aku sudah tahu!
Ummimu sudah tahu!
Allah sudah tahu!
Aku mungkin orang paling lambat tahu
Dan akulah yang paling sedih bila mengetahuinya
Aku tidak tahu kenapa
Hubungan kita sudah tidak serapat dulu
Mungkin sebab kau rasa aku terlalu alimkah?
Aku masih mahu bersamamu
Cuma aku tidak suka cara kau berpacaran
Gambarmu berpelukan, bergambar bersebelahan sudah tersebar dalam internet
Mungkin aku tidak akan tahu jika kau tak di tag dalam Facebook
Tapi Allah tahu
Kau
Aku tahu kau butuh sebuah percintaan
Kasih sayang yang mungkin kau tagih kerana kau kekurangan kasih sayang
Namun,
Kau telah silap memilih langkah ini
Aku terlalu sayangkan kau dan aku sangat berharap kau tidak dirampas oleh mana-mana kumbang secara haram
Cukuplah
Kau jangan terlalu mengejar cinta yang kau sendiri tidak pasti kesudahannya
Aku tidak mahu kau menyesali tahun-tahun,bulan-bulan dan hari-hari yang lepas
Hanya kerana seorang lelaki
Aku juga harap kau tahu batasan halal dan haram sebagai seorang muslim
Sejujurnya, aku rasa aku terlalu mengejarmu
Tapi kau telah ada orang yang lebih kau sayang daripadaku
Bila kita berjumpa, kau sudah tidak seceria dulu
Aku tahu kau selalu menyembunyikan telefon bimbitmu
Mungkin kau takut rahsiamu terbongkar
Tidak mengapalah
Aku tidak akan mengorek telefon bimbitmu
Hmmm
Sudah panjang aku menaip
Hanya satu kupinta
Aku harap kau lebih menyayangi ummi kau
Selagi dia dan kau hidup
Apalah salahnya kau buat apa yang dia sukai dan tinggalkan apa yang dia tidak sukai
Just be yourself
Aku tidaklah skema sangat
Aku mahu kongsi ceritaku denganmu lagi
Aku harap kau dapat berubah
Tak banyak pun sikit pun cukuplah
Sebab..
AKU SAYANG KAU!!

Thursday, November 11, 2010

anak-anak Alice









Saturday, October 16, 2010

Friday, October 15, 2010

Kuching baharu

Hari ini, mendapat suatu khabar gembira. Alice dah beranak 5 ekor! Wah, anak-anak kucing lahir di bulan yang sama denganku. Pasti comel. Tahniahlah Alice! Cayalah dah jadi ibu.

Wednesday, October 13, 2010

OKTOBER & SYAWAL

Bismillahirrahmanirrahim.

Terasa sayu mengenangkan pemergian 2 insan dalam keluargaku pada Oktober@Syawal tahun ini dan tahun lepas.

1 OKTOBER 2009@ 12 SYAWAL: Ummiku Hasmah Osman telah pergi meninggalkan kami buat selamanya kerana menghidap "breast cancer". Walaupun sudah setahun pemergiannya, namun masih terasa kehilangannya. Ummilah yang selalu menyuntikkan motivasi untukku. Beliaulah juga yang sentiasa cuba memahami diriku dan tahu setiap tabiatku. Cukuplah segala kenangan bersamanya menjadi pengubat rinduku kini.


5 OKTOBER 2010 @2x SYAWAL: Mak Longku Fatimah Mohamad, kakak abahku kembali ke rahmatullah akibat "lymphoma cancer". Saya masih ingat di masa kecilku, mak long selalu menciumku,memeluk dan bergurau senda denganku. Dan apabila ku sudah membesar, masih kuingati mak longku menangis kerana saya tidak bersalam dengannya bila dia datang ke rumahku. Dan semoga segala kenangan itulah yang akan mengingatkanku pada mak long di saat kumerinduinya.


Kematian, sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Ia pasti akan menjemput sesiapa saja. Orang yang kita sayang, orang yang kita benci, orang yang kita kenali dan orang yang tidak kita kenali. Itulah qada' dan qadar Allah, Atiqah. Bersabarlah. Saya cuma mungkin rasa agak terkilan, kerana pemergian Ummi dan Mak Long pada bulan Oktober, pada bulan kelahiranku dan masing-masing menghidap penyakit yang sama, "CANCER". Ahh, tak perlu difikirkan sejauh itu. Tidak perlu. Tidak perlu. Hamba yang bersyukur, sentiasa redha dengan takdir dan ketentuan Allah, bukan? May Allah bless both of you, UMMI dan MAK LONG.

Reblogging.

Bismillahirrahmanirrahim.

Tiba-tiba terlintas di fikiranku untuk membuat balik blog.Kenapa ya?Seronok melihat orang berkongsi-kongsi pengalaman, ilmu dan pengajaran. Dan terasa sudah lama tidak menggunakan bahasa melayu dalam penulisan dan terasa mahu berkongsi-kongsi. Dengan lafaz bismillah, saya merasmikan blog baru saya ini, dengan nama baru dan imej baru insyaAllah.