Tuesday, December 28, 2010

Kepala Ikan



Suatu ketika dulu. Dalam sebuah keluarga yang bahagia hendaknya. Si ibu memasakkan kari kepala ikan tenggiri yang lazat.Mmmm. Jarang sekali dapat membeli ikan yang sudah dikira agak mahal ketika itu. Berlakulah pertengkaran antara si anak Comel dan ayahnya. Masing-masing bernafsu berkehendakkan kepala ikan yang sememangnya hanya dimakan oleh mereka berdua.

Anak comel : Arghh. Comel nak dulu! Comel nak dulu kepala tu!
Ayah : Mana boleh. Ayah nak dulu, ayah beli guna duit ayah kot ikan ni.
Anak comel : Aaa. Mana aci camtu. Kalau camtu memang semua ayah yang beli kot!
Ayah : Lalalala~
Anak comel : Cis, Comel nak mata ngan pipi ikan kalau camtu!

(*Jangan tiru adegan Comel. Tidak beradab di hadapan ayahnya.)

Akhirnya si ayah memberikan sedikit isi-isi di celah kepala ikan kepada anaknya yang comel itu. Memanglah ayah itu suka menyakat anaknya.

Masa terus berlalu. Si anak Comel semakin membesar dengan pesat. Akhirnya dia menyambung pengajiannya ke sebuah institusi pengajian tinggi awam di Selangor. Lebih spesifik di Serdang. Jarangkali si Comel itu dapat pulang untuk bersama-sama dengan keluarga. Tidak sekerap dahulu. Suatu hari, akhirnya si anak pulang kerana cuti semester. Ibunya yang penyayang dan penyabar itu memasakkan makanan kesukaan anaknya itu lagi; Kari kepala ikan. Ternyata anaknya sangat merindui air tangan ibunya itu. Sudah terkecur air liur melihat kepala ikan berenang-renang di dalam mangkuk hidang. Bersedia untuk makan! Tiba-tiba si ayah ternyata lebih pantas mengambil dulu kepala itu. Si anak Comel masih lagi cuba menuntut haknya di situ. Seperti biasa, seperti dulu. Adik si anak Comel tiba-tiba menyampuk.

Adik Comel : "Alah ayah tu. Masa Kak Com balik je dia nak main rebut-rebut kepala ikan tu. Kalau tak, takdenye main gaduh-gaduh bising-bising kat meja makan nak rebutkan kepala ikan tu."

Comel tersenyum. Hehe. Ayah rindu nak main rebut-rebut kepala ikan ngan orang ye. Takpe, lepas ni ada kepala ikan kita compete siapa dapat dulu. Si ibu tersenyum penuh makna. Mungkin terhibur dengan gelagat suaminya menyakat si anak. Atau mungkin tersentuh melihat 2 manusia di hadapannya begitu lahap makan masakannya. Tidak diketahui dengan mendalam maksud senyuman itu.

Selepas itu. Selepas itu, asalkan ada kepala ikan, ada ayah dan si anak Comel, pasti akan gawat jadinya suasana di meja makan. Meriah. Bising. Bahagia? InsyaAllah.

Kini, si ibu yang selalu memasak kari kepala ikan yang lazat itu sudah pergi menghadap Ilahi. Sejak itu jugalah, si anak Comel sangat merindui masakan ibunya. Tiada siapa dapat menandinginya. Ayahnya kini sudah berkahwin lagi.

Baru-baru itu juga, ada lauk kepala ikan terhidang di atas meja. Si anak Comel sememangnya lebih tergoda dengan kepala ikan mahu menangkap kepala ikan itu. Namun terlebih dahulu kepala itu terbang ke pinggan ibu barunya. Ayahnya memberikan kepala itu kepada ibunya. Si anak comel terus makan nasi dan lauk lain dengan perasaan yang agak hampa. Tiba-tiba rasa rindu akan kenangan dulu. Kini, si anak sudah tidak merasakan dia perlu berebut kepala ikan dengan sesiapa lagi. Kerana si ayah lebih mahu berebut kepala ikan dengan ibunya. Kepala ikan..Kepala ikan..

There are some points I wanna share here:

1) Hargailah masakan ibubapa anda. Kerana dari air tangan itulah mengalirnya kasih sayang, yang tak dapat diperolehi daripada orang lain.
2) Ada satu maklumat yang saya dapati : kalau kita nak makan, pastikan orang yang memasakkan makanan itu solat. Mahukah kita air tangan orang yang tidak solat, tidak beriman masuk ke dalam perut dan menjadi darah daging kita. Ada yang mengatakan itu boleh menggelapkan hati kita. Tidak pasti tentang kesahihannya, tapi boleh jadi betul juga. Lain kali kena berhati-hatilah dalam memilih tempat makan. Yang paling baik adalah masak sendiri makanan yang kita makan.
3) Berebut-rebut itu tidak elok. Adalah baiknya beralah saja. Mungkin bukan rezeki kita. Mungkin suatu hari nanti Allah nak hadiahkan kepala ikan yang sangat besar dengan mata yang besar. Wah.
4) Makan kepala ikan kurang elok ya? Orang-orang tua kata boleh jadi bodoh jika makan kepala ikan. Makan sekali sekala bolehla.
5) Sebelum makan jangan lupa baca doa. Jangan bazirkan makanan yang tidak habis. Sedekahkan pada ayam-ayam belakang rumah atau kucing-kucing yang kelaparan.

Sekian,wassalam.

2 comments:

Anonymous said...

ala sedihnye...sian anak comel tu...agak2 ayah dia perasan tak yg anak dia sedih sebab dah xrebut kepala ikan tu dia??

AK said...

:) mungkin ya,mungkin tidak.
takpela, berlapang dada adalah lebih baik.