Petang itu, saya dan adik-adik dan sang drebar pergi ke tanah perkuburan di mana tempat bersemadinya jasad ummiku. Dan kami tahu, hanya jasad ummi berada di situ, namun rohnya pasti sedang berada di sana, tempat yang aman dan tak terjangkau betapa indahnya tempat itu, doa kami.
Kubur ummi, kini rumput karpet yang ditanam Cik Imah sudah mula kering dan ditumbuhi pohon-pohon kecil yang liar.
Rupanya tidaklah seindah rupa, malah tiada tanda nama hingga saudara-saudara ummi dari Gombak merungut-rungut kenapa tiada tanda nama? Kenapa tidak dibuat cantik-cantik kuburnya? Dibuat binaan di atasnya.
Hmm, pasti ummi juga pasti tidak suka. Kubur hanyalah tempat jasad yang telah mati disemadikan, dan itu bukanlah tempat yang abadi, selama-lamanya kita akan berada di situ. InsyaAllah, yang cantik-cantik dan yang indah-indah itu biarlah untuk di alam yang kekal itu, alam akhirat.
Seusai memberi salam kepada ahli taman (ahli kubur, tapi dipanggil ahli taman kerana kelak kita pun akan ke sana juga bukan? kita juga akan jadi ahli taman itu), kami menyedekahkan Al-Fatihah kepada ummuna. Walaupun ummi tiada di depan mata untuk kami salami ketika menziarahinya, namun tujuan utama saya mahu ke kubur itu adalah untuk mengingati mati.
Masih teringat-ingat di fikiranku, hari kematian ummi 2 tahun yang lalu.
Saya hanya mendapat tahu berita kanser ummi berada di stage paling teruk bila ianya sudah teruk, sangat teruk. Padahal sudah lama ummi tahu tanpa pengetahuan kami. Mungkin ummi tak nak susahkan hati saya, yang tengah seronok belajar di U.
Malam saya mengetahui tentang penyakit ummi itu, esok paginya saya ada test Biologi. Kakak saya yang telefon. Saya tidak dapat fokus, malah terlalu bersedih. Kawan saya juga tidak tahu apa nak buat. Sungguh, saya rasa hilang semangat apabila pemberi semangat kepadaku sedang sakit tenat.
Kucuba menghubungi ummi, menanyakan khabarnya. Seperti biasa dia kata ok, cuma lenguh-lenguh je. Kenapa ummi sembunyikan rahsia itu ummi? Ummi tidak langsung memberitahu sakitnya. Cuba bersuara ceria di corong telefon.
Kali pertama saya pulang ke rumah selepas mendapat berita itu. Ummi kelihatan diam, selalu berkurung di dalam bilik. Mengemas fail-failnya. Kufikir, mungkin sedang menyediakan wasiat. Ummi juga selalu terbaring, sakit belakang katanya. Masa berbuka puasa, saya bergaduh dengan kakak, ummi memenangkan saya. Pehh.
Saya mahu membawa adik-adik ke Pantai Chendor pagi Ramadhan itu, memandangkan baru ada lesen, dan sengaja mahu membawa adik berjalan-jalan. Namun ummi mahu ikut juga. Dalam kelemahan itu. Saya masih belum bertanya mahupun bercakap dengannya tentang sakitnya. Biarlah dulu. Anggap saja saya tidak mengetahuinya.
Kami bermain air dan termandi (bulan puasa) bila sampai di pantai. Ummi sekadar duduk dan melihat kami. Pandangannya, berbeza. Suatu pandangan yang sayu. Ummi sekadar tersenyum melihat gelagat kami adik-beradik. Ummi ni, walaupun lemah masih lagi mahu ikut.
Kami singgah di Kedai Azlia. Iqbal mengada-ngada nak beli buku Asuh. Bukannya apa, dah banyak dia beli buku sebelum ni, tapi sekejap je baca, pastu sepah, hilang entah ke mana. Dia mula buat muka mengada nak sangat buku tu. Saya halang niat dia, namun ummi kata : bagilah dia beli. Lantas muka Iqbal terus ceria.
Sebelum kubalik ke kolej, ummi ada cakap :"Ummi nak buat rendang untuk Along dan Iqah(saya)", walaupun dia tidak berdaya untuk memasak pun. Ummi selalu cakap nak masak rendang. Sebelum saya naik kereta, ummi meminta maaf kepadaku kerana tidak dapat membuat rendang untukku. Dia hanya duduk di pintu dapur sambil melambai kepada kami. 0h, rindunya rendang masakan ummi.
Tidak lama kemudian, ummi dimasukkan ke Hospital Putrajaya. Kulihat perutnya semakin membuncit. Ummi kelihatan semakin lemah. Entah kenapa, malam itu selepas adikku Ufairah menceritakan apa yang berlaku di rumah, saya jadi begitu sebak. Saya tak sangka keadaan ummi sudah jadi sebegitu "teruk"?
Saya menghampiri ummi di wad, cuba menyembunyikan kesan air mata. Ummi hanya melihat sayu kepadaku. Tapi air mataku tiba-tiba saja mengalir di hadapannya. Ummi bertanya kenapa saya menangis. Saya hanya tersenyum, takde apa-apalah ummi. Kami berbuka puasa bersama-sama di wad itu. Ummi sudah tidak lalu makan. Patutlah badannya makin susut. Sudah malam, saya terpaksa pulang ke kolej.
Semakin hari, ummi sudah semakin lemah dan badan dan matanya juga mulai kekuningan (kanser hati). Sudah tidak larat bangun, hanya terbaring.
Raya tahun itu, kami beraya di Gombak. Jarang sekali kami raya pertama di Gombak. Ummi kata nak jumpa keluarganya buat kali terakhir.
Malam raya, ummi memanggil kami adik beradik berkumpul di ruang tamu saudara kami. Kami duduk menghadapnya. Dia memberikan amanat-amanatnya kepada kami. Masa cuti raya itu jugalah saya terpaksa membuat keputusan untuk memilih kos degree yang saya nak ambil.
Ummi cakap padaku dengan suara yang sebak :"Iqah, Iqah nak ambik apa lepas ni? Nak jadi doktor haiwan? Ummi doakan anak ummi ni semoga dapat apa yang dia nak. Belajar elok-elok. Ummi mintak maaf ummi dah tak boleh bagi semangat kat Iqah, ummi dah tak boleh fikir apa-apa dah sekarang ni." Berderai air mata kami adik beradik. Malam raya itu, malam raya paling sayu buatku, dan mungkin juga buat adik-beradikku yang lain.
Di kampung, ummi yang banyak bercakap dan peramah orangnya sudah menjadi pendiam. Ummi hanya duduk di suatu sudut. Mengadu sakit belakang. Sampaikan saudara mara yang lain pun rasa aneh, namun ummi sekadar mengatakan dia sakit biasa. Raya kami tidak semeriah dulu. Kami nak beraya pun tak terasa.
Sebelum kami balik ke rumah, ummi akhirnya memberitahu penyakit sebenarnya kepada adik beradiknya. Ternyata mereka semua menangis dan memeluk ummi seerat-eratnya. Mungkin terkejut dengan berita itu. Kami yang melihat pun terasa sebaknya.
Di rumah, ummi mengadu terlalu sakit belakang hinggakan kami hilang punca. Akhirnya kami terpaksa menghantar ummi ke Hospital Kemaman, memandangkan ummi sudah tidak mahu makan.
Di hospital, macam-macam perkara berlaku. Banyak darah hilang sebab darah termasuk dalam bekas garam yang cucuk kat tangan tu(tak ingat apa nama), mengadu syaitan kacau, dll. Dan di situ juga ummi sudah jadi separa sedar sejak disuntik dadah untuk menghilangkan rasa sakitnya yang sudah tidak tertahan. Ramai saudara mara yang datang melawat, malah ramai sahabat handai ummi yang datang memberikan sokongan dan dorongan.
Malam 30 September 2009. Ummi sudah 2 hari koma. Hanya terbaring di atas katil wad. Petang itu saya mengurut-urut kaki dan tangan ummi. Sudah terasa sejuk dan beku. Hanya dadanya yang masih berombak-ombak dan nafasnya yang masih menunjukkan tanda-tanda ummi masih bernyawa. Pukul 12 lebih, alat yang ada graf tu tiba-tiba menurun secara mendadak. Saya setia di tepi ummi hanya melihat dan rasa sangat sedih.
Akhirnya graf itu turun ke 0. Saat itu, barulah mata ummi terbuka. Abah kulihat memeluk ummi sambil menangis. Along juga sedikit meraung ummi, jangan pergi! Saya hanya terpaku melihat kematian di hadapan mata, mungkin menangis. Tapi lebih kepada rasa tidak percaya dengan apa yang berlaku.
Saya mesej kepada kawan-kawan tentang kematian ummi. Mungkin ada yang rasa saya tak sedih ke? Siap boleh mesej lagi orang. Hmm, siapa tidak sedih bila orang tersayang meninggal dunia. Tapi, mungkin sudah lama melihat ummi merana kesakitan di depan mata. Kami sudah tidak tahu mahu rasa apa, sedih itu sudah lama kami rasakan sejak tahu penyakit ummi menyerang kembali. Mungkin rasa terkejut sebab apa yang berlaku di depan mata sepantas kilat. Kami redha dengan pemergian ummi, itulah yang terbaik baginya. Daripada ummi terus hidup, tapi merana kesakitan. Allah tahu apa yang terbaik baginya.
Selepas kematian itu, saya merasakan suatu impak yang kuat. Saya rasa kehilangan seorang ibu, hilang orang yang memberikan semangat, sudah lama barulah terasakan kehilangan itu sampai termimpi-mimpi. Keputusan exam saya jatuh merudum, orang lihat saya seperti tiada apa-apa di depan mata, namun dalam hati, jiwa saya meronta-ronta rindukan ummi.
Siapa tidak sayang sama ibunya. Yang pasti, saya masih merasakan, saya mahu lakukan sesuatu yang lebih baik untuknya, anak yang lebih baik buatnya dan macam-macam lagi.
Saya juga sudah berubah sejak itu, tapi sudah kembali pulih kini, insyaAllah. Bukan sikapnya seorang muslim itu untuk sentiasa bersedih, bukankah selepas hujan ada pelangi?
Ummiku bekas seorang ibu, guru dan murobbi. Semoga sentiasa beroleh pahala berterusan dengan segala ilmu yang telah dicurahkan kepada anak-anaknya.
Doakan untuknya setiap kali lepas solat, itulah penghubung antara orang yang sudah mati dan masih hidup. Al-Fatihah
Begitulah cara kematiannya. Bagaimana pula dengan kita?
(maaf jika jalan cerita berbelit dan kurang difahami)
Sayangilah ibu anda sesayang-sayangnya sebelum anda atau ibu anda pergi menghadapNya..
Wassalam.




2 comments:
Allahumma ighfirlaha warhamha wa'afiha wa'fu 'anha...
Arwah seorang qudwah yang sangat hebat bagi ana...
dalam kesakitan yang ditanggung beliau, beliau masih menggagahkan diri menyumbang semampunya...
ana dengar akan penyakit yang dialami arwah.. dalam itu ana berasa sangat3 kagum melihat betapa beliau masih bersungguh2 datang ke Al Amin (sebaik pulang dari mengajar di SMK sesi pagi) untuk mengajar kami..
kadang2 rasa malu dengan arwah bila teringat diri yang masih muda kuat ini tapi kurang sumbangan dalam gerak kerja da'wah..
Allahlah sebaik2 pemberi ganjaran..
1 Oktober.. hari yang sangat memberi kesan kepada anak2 didik beliau.. Moga ditempatkan dalam kalangan para pejuang.
insyaAllah.terima kasih di atas doa itu.
Post a Comment